Thursday, October 13, 2016

Sunner Kios Wifi Hotspot beri kemudahan kepada pengguna KKIA

 Fatimah (tengah) bersama Y.S.Lee (dua dari kanan), Gary Cha (kiri), Raymond Goh (dua dari kiri) dan Wilson Bong (kanan) memotong riben melancarkan Sunner Wifi Hotspot di KKIA.

KOTA KINABALU: Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Fatimah Shara Ahmad Noor telah melancarkan Kios Wifi Hotspot Sunner di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Kios yang menawarkan wifi hotspot berkelajuan tinggi pada kadar RM1.00 untuk 30 minit merupakan yang termurah dan yang pertama di negara ini.

KKIA merupakan pusat pertama pelancaran Sunner Wifi di Sabah dengan lapan mesin (kios) ditempatkan di seluruh lapangan terbang itu.

Fatimah yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu berkata, dengan adanya Kios wifi hotspot di KKIA itu akan memberi kemudahan kepada pengguna terutama para pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kita sedia maklum, Sabah menerima kedatangan ramai pelancong dari dalam dan luar negara terutama pelancong dari China, Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan lain-lain.

“Dengan adanya kios yang diperkenalkan oleh Sunner Group International Berhad menawarkan hotsport wifi berkelajuan tinggi, akan memudahan pelancong dan pengguna berkomunikasi terutama berkongsi gambar-gambar tempat menarik yang mereka lawati, gambar bersama keluarga dan sahabat handai dan lain-lain”, tambahnya.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sunner, Encik Y.S.Lee, Pengurus Cawangan Kota Kinabalu, Encik Gary Cha da n Pengurus Jualan (Sales Manager) Encik Wilson Bong dan Varien Chia dan CEO BSM Vacation Marketing Sdn.Bhd, Encik Raymond Goh.

Menurut Y.S.Lee, Sunner merupakan syarikat pertama di Malaysia memperkenalkan mesin/kios wifi hotspot dan ianya telah dipasang di hampir seluruh bandar utama di negara ini.

Sementara itu Gary Cha berkata, Sunner akan menyediakan lebih banyak mesin/kios hotspot di Sabah dengan tumpuan di pusat-pusat membeli belah, institusi pengajian tinggi swasta dan awam dan bangunan-bangunan kerajaan.

Katanya, mesin wifi hotspot itu mudah digunakan dan pengguna hanya menyentuhkan telefon pintar atau tab ditempat sentuhan khas dan ia akan menyambungkan terus ke Sunner wifi.

“Pengguna boleh menyemak baki duit mereka dan bagi baki masa yang tidak habis dipakai, ianya boleh dibawa ke hadapan dan boleh digunakan pada bila-bila masa di tempat awam yang mempunyai kios Sunner Wifi”, jelasnya.-AG


No comments:

Post a Comment